Saturday, June 18, 2011

Senyum resipi kejayaan dakwah

Senyum resipi kejayaan dakwah



"SENYUM adalah antara resipi kejayaan dalam berdakwah. Kita mesti datang dengan senyuman, berbicara dengan senyuman dan balik juga dengan senyuman serta diiringi doa.

"Insya-Allah dengan cara ini, kita dapat wujudkan ruang yang selesa antara pendakwah dan mad'u (sasaran)," kata Joannes Lukas, 33.

Beliau ialah Kader dakwah Unit Dakwah Global, Bahagian Pembangunan Insan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan juga Ahli Jawatankuasa Dakwah Pertubuhan Ikram Malaysia.

Menurut Joannes lagi, kerja-kerja dakwah juga akan lebih berjaya jika dilakukan dalam jemaah berbanding secara solo.

"Sebab itu, saya sarankan mereka yang ingin terlibat dengan dakwah sertailah mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sesuai," katanya yang melibatkan diri dalam dakwah secara serius sejak 2005.

Beliau terlibat dalam berdakwah kepada bukan Islam, saudara Muslim dan juga kepada yang Muslim.

Joannes yang banyak terlibat dalam dakwah kepada remaja mengakui pendekatan hikmah dan lembut itu terbukti berjaya menyedarkan golongan remaja yang berpacaran atau couple di taman-taman bunga atau rekreasi.

"Selalunya, saya akan perkenalkan diri dan bertanya mereka sudah kahwin atau belum.

"Jika jawapannya belum, barulah saya memberi nasihat yang positif. Antaranya, saya lontarkan soalan seperti anda pasti marah jika adik perempuan kesayangan anda melakukan perbuatan yang sama?

"Berdasarkan pengalaman, mereka akan sedar bahawa perbuatan itu salah dan ramai juga yang berterima kasih atas nasihat yang diberi," katanya yang memeluk Islam pada 1999.

Mengenai syarat menjadi pendakwah yang berkesan, Joannes berkata, pendakwah perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dan belajar daripada pengalaman golongan yang lebih tua.

Selain itu, sentiasa menjadikan al-Quran sebagai teman kerana di dalamnya mengandungi petunjuk, cahaya dan penjelasan.


Utusan Malaysia, 17/06/2011 Jumaat

0 comments: